Persidangan Warga Emas Bakal Dianjur Oktober Ini | MALAYSIAN RESEARCH INSTITUTE ON AGEING (MyAgeing)
» NEWS » Persidangan warga emas bakal dianjur Oktober ini

Persidangan warga emas bakal dianjur Oktober ini

  

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Persatuan Media Era Ketiga (PMEK) merancang memperkasakan peranan warga emas di Malaysia melalui penganjuran sebuah persidangan dengan tema ‘Penuaan, Pembelajaran dan Teknologi : Meningkatkan Kehidupan, Menghubungkan Komuniti’ pada 6 Oktober ini.

Persidangan yang julung kali diadakan itu akan diadakan di Galeri Petrosains, Suria KLCC dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden PMEK, Cheah Tuck Wing berkata warga emas merupakan golongan yang masih relevan malah sangat penting bagi pembangunan sesebuah negara.

“Ramai diantara kami yang masih sihat dan kuat untuk menyumbangkan sesuatu kepada negara.

“Sebagai contoh yang paling baik adalah Tun Mahathir, walaupun berusia 93 tahun beliau masih kuat dan hebat untuk memerintah sebuah negara,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Tambah Cheah, sumbangan warga emas dilihat masih perlu terutamanya dalam bidang pendidikan.

“Dalam bidang pendidikan kita selalu tidak cukup tenaga pengajar Bahasa Inggeris yang bagus, jadi kenapa tidak mahu menggunakan guru warga emas yang masih sihat.

“Kita ada guru-guru yang berkelulusan dari universiti antara terbaik di dunia. Kita boleh gunakan kumpulan ini untuk membantu orang muda supaya lebih cekap dalam penguasaan Bahasa Inggeris,” katanya.

Antara penceramah yang bakal terlibat dalam persidangan tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim; Presiden Majlis Kebangsaan Organisasi Warga Emas (NACSCOM), Datuk Dr Soon Ting Kueh dan Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Tengku Aizan Hamid.

-- BERNAMA

Date of Input: 30/08/2018 | Updated: 30/08/2018 | lizamdnor

MEDIA SHARING

MALAYSIAN RESEARCH INSTITUTE ON AGEING (MyAgeing)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389472750/ 2755
0389472738/ 2744
C1537826377