Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat MPS di Bangunan Baitulmakmur 2, Petra Jaya, hari ini. Beliau berkata, berdasarkan hasil kajian dijalankan, 16 peratus daripada 2.8 juta rakyat Sarawak berstatus warga emas yang berusia 60 tahun ke atas pada 2028. Justeru, katanya, kerajaan Sarawak kini berkolaborasi dengan My Ageing, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalankan penyelidikan bagi mendapatkan input berasaskan bukti bagi pembangunan dasar dan program serta pelaksanaan intervensi bersasar. "Kita sudah menandatangani perjanjian persefahaman dengan My Ageing UPM pada 15 Mac lalu untuk menjalankan kolaborasi penyelidikan itu. "Ia perlu agar warga emas kita menua dengan sihat, aktif, produktif dan sejahtera selain membolehkan kita fokus kepada usaha untuk memastikan ekonomi, kesihatan, sosial serta persekitaran yang kondusif," katanya.